02.17.10

Medical Card : Perkongsian pengalaman

Posted in Aktiviti Semasa, Perancangan Kewangan, medical card KIMB at 12:38 am by suhaila

Assalamulaikum dan salam sejahtera ,

Agak lama saya tidak mencoret di website saya sendiri. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai wakil takaful dan juga pengguna medical card dengan pembaca-pembaca sekalian.

Saya memiliki medical card dari Takaful Ikhlas .Begitu juga dengan anak saya yang berumur 10 bulan. Skim ini menanggung kos perubatan 100% dan tiada simpanan.

Manakala suami saya pula menggunakan medical card dari Etiqa Takaful yang mempunyai ko-takaful dan simpanan ketika matang. Ini bermakna jika sihat sehingga matang, ada simpanan akan dipulangkan pada akhir tempoh polisi.

Apa yang ingin dikongsi adalah pengalaman ibu mertua saya sebagai pengguna medical card Etiqa di sebuah hospital swasta di Sunway. Apa sahaja medical card yang anda miliki, kaedah dan cara penggunaannya adalah sama. Apa yang penting anda wajib mengetahui hak-hak anda sebagai pengguna medical card.

Kami sengaja ingin mengambil pengalaman baru dan memilih hospital terlibat memandangkan luarannya seperti  hotel 5 bintang.  Kami tiba di hospital terlibat sekitar jam 7.30 petang. Niat awal untuk solat maghrib dahulu ditangguhkan seketika terus ke kaunter pendaftaran untuk mendapat Gurantee Letter (GL) memikirkan proses mendapatkan memakan masa setengah jam ke maksimum 2 jam. Kaedah 1: Serahkan kad medik anda bersama surat rujukan Doktor dari klinik atau hospital lain untuk mendapatkan GL. Namun sebaliknya di hospital terlibat meminta kami terus ke wad kecemasan untuk mendapatkan rawatan Doktor bagi mengesahkan keperluan pesakitnya untuk menetap di hospital atau tidak. Kami terasa pelik dengan layanan disini namun kami hormati kemungkinan ia adalah prosedur hospital.

Sementara ibu mertua saya dirawat di bahagian kecemasan, saya terus ke kaunter pendaftaran untuk mendapat GL. Pelbagai borang diberikan untuk kami isi tanpa sebarang bantuan. Oleh kerana borangnya di dalam bahasa Inggeris, saya harus berhati-hati dan membaca satu persatu klausa yang tertera sebelum menandatangani semua borang tersebut. Terus staf hospital tersebut menegur saya dengan muka yang serius untuk mempercepatkan mengisi borang dan menurunkan tandatangan. Beliau serta merta memberitahu bahawa beliau sudah mahu pulang dan kaunter pendaftaran tutup jam 9 malam. Saya terasa sungguh hairan melihat layanan hospital terlibat dan setahu saya hospital swasta ini suka orang masuk hospital lebih pula siapa yang ada kad medik. 100% ditanggung! Apabila saya melihat jam baru jam 8.30 malam hati saya mula terasa marah dengan staf terlibat. Saya tidak faham kenapa saya harus mengisi borang yang banyak sedangkan tidak berlaku dihospital swasta yang lain? Saya tidak faham kenapa GL kami tidak mendapat sebarang jawapan? Saya juga tidak faham kenapa kami perlu mengisi borang Guarantor untuk bayar bil Perubatan??

Saya cuba bersangka baik mungkin masih belum mendapat jawapan daripada TPA ( Third Party Agency). Saya menunggu dengan penuh tanda tanya. Begitu juga bapa mertua saya tidak tahu apakah perlu tandatangani borang Guarantor tetapi diturutkan juga seperti yang diminta. 1 jam setengah masa berlalu masih tiada jawapan. Kami sepakat untuk tanya semula apa yang berlaku. Dukacitanya kami apabila mengetahui staf terlibat tidak memproses GL yang kami minta dan beliau sibuk bersiap-siap untuk segera pulang.

Alasannya esok pihak hospital akan proseskan GL selepas dapat detail report Doktor. Ini bermakna Hospital terlibat secara tidak sedar memaksa pesakit-pesakit masuk dahulu ke hospitalnya bersama wang deposit sebanyak RM 500  kemudian jika GL ditolak surat gurantor yang telah ditandatangani wajib dijelaskan! Menurut beliau itu adalah prosedur insurans.

Saya tidak berpuas hati terus menghubungi TPA seperti yang tertera di belakang kad medik anda untuk mendapatkan kepastian informasi yang dinyatakan. Terbukti sama sekali TIDAK BENAR!! Sah staf terlibat malas dan tidak membuat kerjanya dengan baik! Jika diikutkan hati yang marah ingin sahaja saya cadangkan agar dipindahkan ke hospital lain. Namun tidak sampai hati berpindah melibat ibu mertua saya yang keletihan.

Syukur 1minit sebelum jam 9 pm saya dapat menggesa staf terlibat memproseskan GL malam itu juga selepas kami bertikam lidah apabila  staf kecemasan bertolak-tolak kerja dengan staf terlibat. Saya menegaskan jika GL ditolak mengapa kami harus terus mendapatkan rawatan disini sedangkan tiada masalah di hospital swasta yang lain. Sungguh menyedihkan!! Saya cukup marah dengan staf terlibat terlalu sibuk untuk pulang sedangkan ibu mertua saya perlukan bilik untuk rehat dan rawatan susulan.  Tips :  Jika anda merasa was-was atau curiga dengan tindakan hospital, hubungi terus nombor yang tertera dibelakang kat medik anda untuk mendapatkan kepastian.

Akhirnya jam 11 malam kami perolehi GL .Sepatutnya kami tidak perlu membayar deposit menandangkan GL tersebut sudah cukup untuk lindungi bil perubatan nanti. Tetapi kesan tindakan staf terlibat kami terpaksa keluarkan Wang tunai juga.  Kaedah ke2:  Setelah GL diluluskan, anda harus memilih bilik mengikut harga yang dilindungi didalam polisi anda sahaja. Jangan terima jika hospital menawarkan lebih daripada yang sepatutnya. Kesannya anda akan dikenakan penalti oleh pihak insurans.

Apa yang berlaku kepada kami, ibu mertua saya masih menunggu di wad kecemasan sehingga jam 11.30 malam. Katanya menunggu pemeriksaan akhir Doktor. Lamanya periksa dari jam 7.30 malam sehingga 11.30 ?? Baik masuk hospital kerajaan sahaja! Sah-sah dapat duit poket lagi dari pihak insurans selain dari bil perubatan ditanggung.

Saya berbual-bual dengan pegawai keselamatan diluar. Satu berita yang telah membuatkan saya terasa marah semula terhadapat hospital terlibat. Rupanya-rupanya bilik penuh akibat penutupan tingkat 3 dan 6 dihospital terlibat. Patutlah kami tidak diberikan bilik walaupun setengah jam menunggu. Saya terus berjumpa dengan staf kecemasan bertanya tentang wad. Beliau menafikan berita tersebut dan memaklumkan masalah kekurangan staf untuk menghantar pesakit kecemasan ke wad masing-masing. Sungguh pelik! Kami terus bersabar dan menunggu staf khas seperti yang dinyatakan.

Akhirnya Jam 2 pagi baru ibu mertua saya memdapat wadnya. Bayangkan berapa jam kami menunggu? 6 setengah jam! Lebih baik masuk hospital kerajaan jika dibandingkan dengan hospital terlibat. Deposit RM 500 pula tidak dipulang ketika keluar hospital tetapi dalam tempoh seminggu. Sungguh menyedihkan. Tidah pernah saya jumpa hospital swasta sebegini rupa. Mementingkan keuntungan semata-mata! Pengajaran buat kami itulah terawal dan terakhir kami jejak hospital tersebut. Selepas ini kami akan rujuk hospital swasta yang lain. Begitu juga dengan anda, berhati-hati lah dengan hospital swasta dan rujuklah kepada hospital swasta yang anda biasa rujuk.

Itu sahaja buat kali ini. Harap pengalaman ini tidak terkena kepada anda. Terima kasih.

Leave a Comment

Bad Behavior has blocked 82 access attempts in the last 7 days.